Tuesday, February 28, 2012

Jauhi Tujuh Perkara Boleh Menjadi Isteri Yang Nusyuz

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki dan perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini, terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan ditunaikan oleh pasangan suami isteri. Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajib dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Suami merupakan pemimpin dan ketua bagi sebuah keluarga, yang wajib dipatuhi dan berdosa besar jika isteri mengingkari dan menyalahi perintahnya itu. Isteri wajib menunaikan hak suami ke atasnya iaitu wajib taat kepada suami dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Perintah untuk mentaati suami sebagai pemimpin keluarga ada disebut di dalam al-Quran, dan juga dalam hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya iaitu ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia, nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suaminya. Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala sahaja dan tidak pada yang lainnya.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya yang bermaksud : “Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.”

(Hadis riwayat ath-Thabarani)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa Islam memerintahkan seorang isteri itu untuk menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya, antaranya mentaati suami. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.

Nusyuz bererti keluar dari ketaatan. Para ulama asy-Syafi‘eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari (melakukan) ketaatan yang wajib terhadap suaminya.

Terdapat tujuh perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyuz itu ialah seperti berikut:

Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.

Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.

Peristiwa ini pernah berlaku dizaman Rasulullah SAW apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya. Oleh kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.

Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.

Ketiga : Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.

Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau letih bukan alasan yang menasabah.

Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.

Keenam : Isteri mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.

Ketujuh : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain, selalu chatting, talipon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya.

Sahabat yang dimuliakan,

Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa isteri yang nusyuz terhadap suaminya hukumnya adalah haram, bahkan dia dilaknat kerana nusyuznya itu kecuali jika dia bertaubat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dengan berbuat nusyuz itu, hak isteri terhadap nafkah dan qasm iaitu hak giliran bermalam bagi isteri yang mempunyai lebih dari seorang isteri yang wajib ditunaikan oleh suaminya kepada isterinya akan gugur.

Islam telah menggariskan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh suami dalam menangani dan menghadapi masalah nusyuz isteri ini:

1. Ketika nampak tanda-tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling padahal kebiasaannya dia menampakkan muka yang manis kepada suaminya atau dengan percakapan seperti isteri menjawab suaminya dengan suara yang kasar padahal kebiasaannya dia bercakap dengan lemah lembut kepadanya, maka sunat ke atas suami memberi nasihat. Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah an-Nisa: 34)

Antara cara menasihati isteri yang ditakuti berlaku nusyuz sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama:

- Menasihati isterinya dengan berkata kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah pada perkara-perkara hak-hak yang wajib untukku ke atasmu dan beringat-ingatlah akan akibat jika engkau tidak melaksanakannya.”

-Menjelaskan kepada isteri bahawa nusyuz boleh mengugurkan (hak) nafkah dari suami dan hak giliran bermalam di rumah isteri bagi suami yang mempunyai lebih dari seorang isteri.

- Menyebut hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan di atas mengenai isteri yang nusyuz.“Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

- Adalah sunat juga bagi suami berbuat baik kepada isterinya itu dan mengambil hatinya dengan memberinya sesuatu.

2. Apabila berlaku nusyuz isteri, maka suami bolehlah mengambil tindakan dengan terus menasihati isterinya itu dan harus juga baginya untuk mengasingkan diri dari tempat tidur isterinya atau dengan kata lain, tidak tidur bersama-sama. Mengasingkan diri dari tempat tidur isteri adalah antara cara berkesan untuk menghukum isteri agar tidak mengulang perbuatan nusyuznya.

Jika nusyuz isteri berlaku berulang-ulang atau berterusan, maka suami boleh memukulnya dengan pukulan yang ringan (bukan penderaan) jika mengikut sangkaannya dengan pukulan itu dapat mendatangkan faedah iaitu isteri akan kembali taat kepadanya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

(Surah an-Nisa: 34)

Walaupun suami dibenarkan untuk memukul isteri, namun Islam juga memberi garispanduan tentang cara memukul agar pukulan suami tidak mendatangkan mudharat kepada isteri, iaitu suami tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada wajah dan pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera.

Tujuan pukulan tersebut adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri jika dirasakan tidak perlu.

Para isteri perlu sedar akan tanggungjawab mereka menunaikan hak-hak suami. Selain dari mentaati suami, isteri wajib berlemah lembut dengan suami, menjaga perasaan suami, bersyukur dan menerima seadanya apa saja pemberian suami. Isteri dilarang meninggikan suara kerana walaupun perkara tersebut bukan dianggap sebagai nusyuz, akan tetapi ia boleh saja menjadi sebagai permulaan isteri berlaku nusyuz terhadap suaminya.

Isteri juga diperintahkan untuk menjaga kehormatan dirinya dan harta suami ketika ketiadaan suaminya kerana yang sedemikian itu adalah perilaku seorang isteri solehah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya : “Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika ( suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka) ”(Surah an-Nisa: 34)

Sesungguhnya ganjaran Allah Subhanahu Wa Ta‘ala terhadap isteri yang solehah dan diredhai oleh suaminya adalah syurga yang penuh kenikmatan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah radhiallahu ‘anha yang bermaksud : “Setiap perempuan yang mati dalam keadaan suaminya redha kepadanya, maka perempuan itu akan masuk syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi )

Sebagai seorang isteri, rebutlah peluang mudah untuk memasuki syurga iaitu dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dan RasulNya serta dengan mentaati suami.

Sahabat yang dikasihi,

Para isteri wajiblah mentaati suaminya dan menjaga kehormatan diri di belakang suaminya. Berdosa besar apabila seorang isteri menderhaki suaminya, begitu juga haram seorang wanita yang telah bersuami bercinta dengan lelaki lain melalui facebook atau talipon bimbit. Jauhkan diri kalian daripada menjadi isteri nusuz kerana isteri nusuz tidak akan mencium bau syurga, jika kalian mati tidak mendapat redha suami kalian tidak akan mendapat redha Allah SWT, kerana redha Allah SWT bergantung kepada redha suami kalian.

Tetapi sekiranya kalian memiliki suami yang bengis (sering memukul isteri tanpa kesalahan besar) dan tidak bertanggungjawab kerana tidak memberi nafkah maka kalian perlulah menasihatinya dahulu, jika tidak berkesan maka kalian perlulah mengadu di pejabat agama untuk mendapat pembelaan dan jika perlu menuntut fasakh atau tebus talak. Jika kalain tercedera sila buat pemereksaan doktor kerana lapuran perubatan sebagai bahan bukti apabila berlaku perbicaraan dimahkamah syariah nanti dalam kes tuntutan fasakh.

Setiap suami perlulah mendidik isterinya supaya dia menjadi isteri yang solehah, pastikan isteri menutup aurat dan diberi didikan agama yang mencukupi kerana tanggunhjawab tarbiah adalah tanggungjawab suami. Jika suami biarkan isterinya keluar rumah dengan mendedahkan aurat atau suami tidak prihatin isterinya bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya dikhuatiri suami akan menjadi suami yang dayus sesungguhnya suami yang dayus tidak akan mencium bau syurga.

Tuesday, February 14, 2012

Syarat Qobul Sembahyang

Syarat Qobul Sembahyang Dinyatakan dalam kitab Sulamuttaufiq:
“Dan disyaratkan berserta dengan syarat-syarat yang lain untuk diterima sembahyang di sisi Allah, bahawa niat sembahyang itu tiada lain kerana Allah sahaja, dan adalah makanannya, pakaiannya dan tempat sembahyangnya itu halal, dan hadir hatinya dalam sembahyang, tiada apa-apa dari sembahyangnya kecuali yang difikirkan adalah sembahyangnya, dan tiada ia ujub tentangnya.”Keterangan:Di sini pengarang kitab menerangkan kepada kita bahawa selain ada syarat sah sembahyang dan syarat wajib sembahyang berserta dengan rukun-rukunnya, ada satu lagi syarat untuk sembahyang kita diterima Tuhan. Atau dalam ertikata lain dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan. Bila kita sudah memenuhi syarat wajib, syarat sah dan rukun sembahyang, lahirnya sembahyang kita sudah selesai. Namun, bila dibawa kepada Tuhan, selagi syarat-syarat tambahan itu tidak dipenuhi, maka sembahyang kita itu seperti tiada nilainya. Tuhan tak pandang sembahyang kita. Makanya sembahyang kita adalah tertolak.Syarat-syarat tambahan ini disebut sebagai syarat qobul dan ia adalah seperti berikut:

1. Niat kerana Allah – Menetapakan yang niat kita bersembahyang itu benar-benar kerana kita cinta dan takutkan Allah. Benar-benar untuk mendapat keredhaan Allah dan bukan selainNya. Dikekalkan niat kerana Allah itu dari sebelum sembahyang hingga kepada selesai sembahyang.

2. Makanan halal – Maksudnya kita menjaga agar sebarang makanan yang masuk ke dalam perut kita adalah halal. Di sini ada dua pengertian, a) Bahan makanan itu halal, suci dan bersih b) Sumber pendapatan untuk mendapatkan makanan halal itu bukan dari sumber yang haram. Maksud Firman Allah: Makanlah oleh kamu daripada makanan yang baik (halal) dan perbuat olehmu akan amal yang soleh. (Al-Mukminun: 51)

3. Pakaian halal – Biarpun sah sembahyang kita dengan pakaian yang dicuri atau pakaian yang dibeli daripada hasil yang haram, tetapi hakikatnya Allah tidak menerima sembahyang kita itu. Sabda Rasululllah: “Barangsiapa yang bersembahyang mengenakan pakaian yang diperolehi dengan 10 dirham, sedangkan ada 1 dirham daripadanya adalah haram, maka tiadalah Allah menerima sembahyangnya” (Riwayat Ahmad).

4. Tempat sembahyang halal – Sumber pendapatan dalam membina tempat sembahyang seperti masjid dan surau mesti halal. Maksud Firman Allah: “Sesungguhnya masjid yang berasaskan taqwa dari permulaan hari berdirinya, lebih baik bagi engkau mendirikan sembahyang di dalamnya” (At-Taubah:108).

5. Hadir hati dalam sembahyang – Membawa pengertian khusyuk. Iaitu kita mengetahui, memahami justeru menghayati setiap pergerakan dan bacaan dalam sembahyang. Sehingga dapat merasa-rasa dengan Tuhan dalam sembahyang seperti rasa takut, rasa cinta, rasa hina diri dan rasa gementar.

6. Tiada ujub – Janganlah sampai kita bangga dengan bacaan kita atau dengan sembahyang kita. Hingga sampai membawa rasa diri hebat, rasa diri baik dan rasa diri itu sudah istimewa di sisi Tuhan. Patutnya kesan daripada sembahyang lebih menajamkan rasa hamba dalam diri seperti rasa berdosa dan rasa takut dengan Tuhan.

7. Imam yang alim lagi warak – Ini satu perkara yang tidak disebutkan dalam kitab tersebut. Tapi adalah sangat penting bagi kita dalam bersembahyang jemaah, maka imam yang mengimami sembahyang kita adalah orang alim (berilmu) lagi warak (yang takutkan Tuhan). Ini seperti yang disabdakan Rasulullah: ”Jika kamu gembira untuk sembahyang kamu diterima, hendaklah mengimami sembahyang kamu itu orang yang baik (alim & warak), kerana dia adalah penghubung kamu dengan Tuhan kamu (Riwayat Thabrani).
Taqaballahu minna wa minkum -

Moga-moga Allah menerima segala amalan kita.Sekian.

BIODATA RASULULLAH SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM

• Nama: Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hashim

• Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka'abah)

• Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah

• Nama bapa: 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hashim

• Nama ibu: Aminah binti Wahab bin 'Abdul Manaf

• Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM )

• Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)

• Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa'diah (lebih dikenali Halimah As-Sa'diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

USIA 5 TAHUN

• Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.

USIA 6 TAHUN

• Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa' (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)

• Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM) dan dibiayai oleh datuknya 'Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN

• Datuknya, 'Abdul Muttalib pula meninggal dunia.

• Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

• Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.

• Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua- ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

• Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab 'Sirah' , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM ialah14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.

• Menyaksikan ' perjanjian Al- Fudhul'; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah..

USIA 25 TAHUN

• Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al- Asadiyah.

• Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..

• Baginda SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.

• Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN

• Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka'abah.

• Pembinaan semula Ka'abah dilakukan oleh pembesar- pembesar dan penduduk Mekah.

• Rasulullah SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM diberi kemuliaan untuk meletakkan 'Hajarul-Aswad'ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

• Menerima wahyu di gua Hira' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN

• Berhijrah ke Madinah Al- Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.

• Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN

Rasulullah SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM di Madinah Al-Munawwarah
pada hari Isnin, 12Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM.

• Khadijah Binti Khuwailid

• Saudah Binti Zam'ah

• 'Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)

• Hafsah binti 'Umar (anak Saidina'Umar bin Al-Khattab)

• Ummi Habibah Binti Abu Sufyan

• Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)

• Zainab Binti Jahsy

• Maimunah Binti Harith

• Safiyah Binti Huyai bin Akhtab

• Zainab Binti Khuzaimah (digelar 'Ummu Al-Masakin'; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM

1. Qasim

2. Abdullah

3. Ibrahim

4. Zainab

5. Ruqaiyah

6. Ummi Kalthum

7. Fatimah Al-Zahra'

ANAK TIRI RASULULLAH SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM
IBU SUSUAN,SAUDARA SUSUAN

1.. Thuwaibah

1. Hamzah

2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

1. Halimah Al-Saidiyyah

1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib

2. Abdullah bin Harith bin Abdul 'Uzza

3.. Syaima' binti Harith bin Abdul 'Uzza

4. 'Aisyah binti Harith bin abdul 'Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

1. Al-Harith

2. Muqawwam

3. Zubair

4. Hamzah ***

5. Al-'Abbas ***

6. Abu Talib

7. Abu Lahab (nama asalnya 'Abdul 'Uzza)

8.. Abdul Ka'bah

9. Hijl

10. Dhirar

11. Umaimah

12. Al-Bidha (Ummu Hakim)

13.. 'Atiqah ##

14. Arwa ##

15. Umaimah

16. Barrah

17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-'Awwam) *** *** Sempat masuk Islam.

## Ulama' berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SHAALALLAHU ALAIHI WASALLAM:

"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku,maka sesungguhnya dia telah mencintai aku.Dan sesiapa yg mencintai aku nescaya dia bersama-sama di dalam syurga.