Tuesday, March 6, 2012

Kewajipan memahami makna bacaan dalam solat

Wajib faham apa yang dibaca dalam solat

Ibadah solat itu ialah merupakan suatu kewajipan yang paling penting bagi seorang Muslim selepas beriman dan mengucapkan dua kalimah syahadah .

Firman Allah SWT : “Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat.” (An-Nur : 56)

Daripada Ibn Umar ra, Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : "Islam itu terbina di atas lima perkara, bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan dan rasul Allah ,Mendirikan Solat, Membayar zakat, Melaksanakan ibadah haji dan berpuasa dibulan Ramadhan.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasaie dan Tirmidzi ra pula, ada menyebutkan bahawa amalan yang pertama sekali akan dihisab di hari akhirat ialah amalan solat.

Sebenarnya banyak lagi hadis lain yang menceritakan tentang kepentingan dan kewajipan solat sebagai rukun Islam yang kedua selepas syahadah. Imam Ibnu Qayyim ra menyebutkan bahawa telah disepakati dikalangan ulama Islam bahawa meninggalkan solat dengan sengaja adalah merupakan dosa yang paling besar. Ianya bahkan lebih teruk daripada membunuh, mencuri dan berzina atau meminum arak. Orang yang meninggalkan solat akan mendapat kemurkaan Allah dan hukuman yang pedih serta kehinaan di dunia dan di akhirat. (Lihat Kitab As-Solah wa Hukmu Tarikuha )

Memandangkan kewajipan solat yang begitu besar dan penting dalam Islam maka adalah tidak wajar apabila ibadah tersebut tidak dilakukan dengan teliti dan cermat sebagaimana pentingnya perintah dan arahan daripada Allah SWT dan rasul-Nya supaya manusia mendirikan solat dengan khusyuk dan larangan agar tidak lalai serta leka sewaktu mendirikannya.

Firman Allah SWT :

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang solat dalam keadaan lalai.” (Al-Maun : 4-5)

Di antara yang dimaksudkan dengan lalai dalam solat ialah mendirikannya tanpa memahami maksud dan bacaan di dalamnya sehingga tidaklah seseorang itu berdiri menunaikan solat melainkan sekadar membaca apa yang dihafal seperti burung kakak tua namun tidak memahami dan mengerti isinya apatah lagi merasa insaf dan sedar akan maksud dan perintah di dalam ucapannya !

Wajib memahami makna bacaan dalam solat

Perintah memahami maksud dan bacaan dalam solat merupakan sesuatu yang sudah jelas dan terang daripada Al-Quran dan As-sunnah. Ini diterangkan oleh Allah SWT di dalam banyak ayat antaranya :

Firman Allah SWT : “Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.” (Al-A’raaf: 204)

Menurut ulama tafsir antaranya Imam Ibn Katsir rahimahullah, bahawa ayat diatas bermaksud supaya orang yang mendengar bacaan Al-Quran itu segera berdiam diri dan tidak bercakap lalu menyemak bacaan tersebut dan memerhatikan maksud serta isinya. Kata Ibn Jarir pula, diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud ra bahawa para sahabat nabi salallahualaihiwassalam pernah bercakap di dalam solat dan memberi salam antara satu sama lain sehinggalah turunnya ayat diatas.

Ramai terkeliru dengan maksud Islam ialah agama yang memudahkan dan tidak menyusahkan dengan beranggapan bahawa cukuplah solat dengan membaca bacaan yang betul tanpa memahami maknanya daripada memahami maknanya tetapi membaca secara tidak betul.

Hal itu adalah salah !

Di dalam buku Fiqh Aulawiyat karya Dr. Yusof Al-Qaradhawi ada menyebutkan bahawa kefahaman itu adalah lebih utama daripada hafalan.

Di dalam Islam kefahaman itu lebih utama daripada hafalan bahkan lebih penting dari kepetahan atau kelancaran bacaan. Ini dibuktikan oleh hadis nabi salallahualaihiwassalam daripada Rafa’ah bin Rafi’ ra bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Barangsiapa yang padanya ada Al-Quran maka bacalah dan jika tidak, maka (baginya) adalah Alhamdulillah, Allahuakbar dan Laailahaillallah, kemudian ruku’lah.” (hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Nabi salallahualaihiwassalam tidak membebankan pun para sahabat baginda yang merupakan orang arab itu untuk tergesa-gesa menghafal surah yang panjang-panjang sebaliknya menyarankan apabila mereka tidak menghafal al-quran maka hendaklah membaca zikir-zikir yang disebutkan lalu rukuklah. Apa yang penting ialah memahami maksud bacaan di dalam solat itu dan bukannya menghafal surah yang panjang-panjang seperti al-insan, as-sajdah untuk dibaca pada hari Jumaat tetapi jahil akan maknanya !

Ini kerana ada sahabat nabi sendiri yang tidak mampu menghafal bacaan di dalam solat sedangkan mereka adalah bangsa arab,mampu memahami maksud dan bacaannya namun tidak menghafalnya lalu baginda tidak membebankan ke atas mereka yang tidak mampu dan menyuruh mereka supaya mendirikan solat dengan membaca zikir-zikir seperti tasbih, takbir dan tahlil !

Daripada Abdullah bin Abi Aufa, beliau berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi Salallahualaihiwassalam, lalu berkata: Aku tidak dapat menguasai bacaan Al-Qur’an sama sekali, oleh kerana itu ajarlah aku bacaan yang kiranya mencukupi untuk solatku. Maka bersabdalah Nabi salallahualaihiwassalam : “Bacalah “ سبحان اللَّه والحمد للَّه ولا إله إلا اللَّه واللَّه أكبر ولا حول ولا قوة إلا باللَّه “ (Maha Suci Allah, dan segala puji bagi Allah, tiada Tuhan kecuali Allah, dan Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie)

Lalu alangkah pelik bagi orang Melayu yang tidak memahami maknanya, tidak mengetahui isi bacaan yang dibaca di dalam solat tetapi begitu membebankan cara sebutan dan hafalan-hafalan seperti doa qunut yang panjang namun jahil dan tidak memahami akan isi kandungannya !

Syeikh Abd Aziz bin Baz rahimahullah di dalam salah satu fatwanya pernah ditanya berkenaan hukum solat sambil memegang dan membaca dari mushaf yang mempunyai tafsir di dalam solat qiamullai agar dapat memahami maksud dan bacaan di dalam solat tersebut dan beliau berfatwa sebagai harus kerana mengambil manfaat daripada perintah tadabbur dan suruhan supaya memahami isi makna bacaan dalam al-Quran. (Rujukan dari Islamqa.com)

Akhirnya kita boleh melihat di dalam Surah An-Nisa berkenaan larangan solat di dalam keadaan mabuk berkenaan perintah Allah supaya menangguhkan solat seseorang sehingga dia menyedari apa yang diucapkannya di dalam bacaan solat tersebut. Hal ini menjadi bukti yang paling jelas bahawa kewajipan solat itu haruslah didirikan dengan memahami makna bacaan dan mengerti tentang apa yang diucapkannya agar solatnya itu dapat diterima oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu dapat mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu sahaja, sehingga kamu mandi.” (An-Nisa : 43)

Kalimah “sehingga kamu mengerti atau mengetahui apa yang kamu ucapkan” ialah isyarat jelas bahawa perintah memahami maksud bacaan dalam solat ialah suatu kewajipan yang perlu diusahakan oleh setiap muslim yang mengaku beriman supaya dapat mendirikan solat dalam keadaan memahami makna bacaan.

Imam Ahmad rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis daripada Anas bin Malik ra yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwassalam : “Jika salah seorang daripada kamu mengantuk dalam solat maka hendaklah dia berundur (daripada solat) dan kembali tidur sehinggalah dia (dapat solat) dalam keadaan mengetahui apa yang dibacanya.” (hadis riwayat Ahmad dan terdapat riwayat yang serupa dari jalan Aisyah ra yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam sahihnya)

Maka tidak ada alasan bagi orang yang beriman dan muslim yang telah menjadi Islam sejak puluhan tahun untuk tidak berusaha memahami dan mempelajari bahasa arab dan makna-makna di dalam solat serta tafsir Al-Quran sedangkan dalam waktu yang sama mereka mampu mempelajari pelbagai jenis bahasa asing dan membaca serta menulis dan bahkan bertutur di dalam bahasa tersebut.

Adalah merupakan suatu tanda yang jelas dari sifat kemunafikan yang terdapat di dalam umat Islam apabila mereka tidak mahu bersusah payah demi agama tetapi sanggup berusaha gigih dan bekerja keras demi dunia dan kesenangannya.

Firman Allah SWT : “Katakanlah: "Tuhanku menyuruh supaya menjalankan keadilan." Dan (katakanlah): "Luruskanlah muka (diri)mu di setiap solat dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepadaNya)." (Al-Araaf : 29)

sumber : http://ustaz.blogspot.com/2011/12/kewajipan-memahami-makna-bacaan-dalam.html

download makna bacaan dalam solat per kata : http://www.mediafire.com/?tmw2zw9rm572zd8

Cinta Ditolak. Adakah Ini Memalukan? Cinta Ditolak. Adakah Ini Memalukan?

“Maafkan saya. Saya tidak dapat menerima cinta awak. Cukuplah sampai disini. Semoga Allah mengampuni saya jika saya bersalah. Saya tahu niat awak baik, tetapi saya bukanlah orang yang tepat.”

Tulisan ini mungkin pernah kita terima melalui SMS atau bermacam-macam cara lagi yang menyatakan hasrat cinta di tolak sama ada yang masuk ke inbox telefon kita atau secara berhadapan.Tentu remuk rendam hati dan perasaan kita. Cinta kita ditolak! Malu..! Dunia seolah-olah berakhir. Suasana hati berubah mendadak dan menjadi binggung tidak tahu harus berbuat apa.

Sesiapapun mungkin akan kecewa apabila keinginan dan cita-citanya tidak tercapai. Perasaan kecewa adalah sebahagian dari gharizatul baqa‘ (naluri mempertahankan diri) yang Allah ciptakan pada manusia. Dengannya, manusia adalah bukan robot, mereka mempunyai pelbagai emosi. Dapat gembira tetapi boleh juga untuk merasa kecewa.

Manusia memang tidak suka dengan penolakan. Mereka ingin semua keinginannya selalu dipenuhi. Padahal ditolak adalah salah satu daripada kehidupan kita. Hidup ini adakalanya tidak boleh memilih. Benar, cuba kita perhatikan, kita lahir ke dunia ini tanpa ada pilihan: sebagai lelaki atau perempuan, berkulit gelap atau cerah, berbeza suku bangsa. Rezeki dan jodoh juga adalah sesuatu yang diluar pilihan kita

Man propose, God dispose - Kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar, tetapi Allah jua yang menentukan segalanya. Ya, yang penting kita sudah IKHTIAR!

Ini Bukan Suatu Aib

Ditolak?

Pastinya perasaan Malu, kesal dan kecewa menjadi satu. Tetapi itulah bentuk perjuangan menuju pernikahan. Kita sememangnya tidak tahu apakah sang pujaan menerima atau menolak kita, kecuali setelah kita memberi tahu hasrat hati kita kepadanya.

Apabila ditolak tidak usah malu. Bukan cuma kita sahaja yang pernah ditolak. Ramai lagi orang lain yang senasib dengan kita. Jika seorang wanita melamar lelaki, dia tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh sebenarnya adalah mereka yang mendedahkan aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas

Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam.

Bukankah apa yang kita lakukan itu adalah sesuatu yang benar dan baik menurut agama? Jadi mengapa mesti malu?

Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan

Berfikir Positif..

Marah-marah kerana ditolak? Mendoakan keburukan kepada lelaki/wanita yang menolak kita? Itu bukanlah sikap seorang muslim yang baik.

Tidak ada yang dapat melarang seseorang untuk jatuh cinta mahupun menolak cinta. Sebagaimana kita mempunyai hak untuk mencintai dan melamar orang, maka ada juga hak yang diberikan agama pada orang lain untuk menolak pinangan kita.

Bahkan dalam kehidupan rumah tangga pun seorang suami dan isteri diberikan hak oleh Allah (SWT) untuk membatalkan sebuah ikatan perkahwinan. Mengapa Allah SWT memberikan hak menolak cinta kepada kita? Dan dalam perkahwinan ada “penceraian”?

Jawapannya adalah mungkin manusia yang pernah jatuh cinta atau setelah membina rumah tangga, ternyata tidak memperoleh kebahagiaan (al-hanaah) dari pasangannya, maka tiada gunanya untuk kita mempertahankan sebuah hubungan apabila kebahagiaan dan ketenteraman tak dapat diraih. Wallahuaklam bi ash sawab

Berfikir positiflah apabila cinta atau hasrat hati kita itu tidak berbalas. Belum tentu kita memperoleh kebahagiaan apabila hidup bersamanya. Apa yang kita pandang baik pada mata kasar, belum tentu akan memberikan kebaikan pada kemudian hari.

Allah maha pengatur, pasti akan mempertemukan kita dengan orang yang memberikan kebahagiaan seperti yang kita angankan. Bahkan mungkin lebih dari yang kita harapkan. Be positive thinking. Tiada sebab untuk bersedih.

Firman Allah Yang Bermaksud:dan jangan kamu berputus asa dari dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.” [Yusuf :87]

JANGAN dalam Islam

- JANGAN tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki Mahal kerana berpagi-pagi itu membuka pintu Berkat.
- JANGAN makan tanpa membaca BISMILLAH dan DOA makan. Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.
-JANGAN tambah perhiasan di badan kerana Allah sudah jadikan Manusia Makhluk yang paling Sempurna
- JANGAN keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan.Takut-takut kita mati dalam perjalanan.
- JANGAN pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan.Makruh dan mewarisi kepapaan.
- JANGAN biarkan Mata liar di perjalanan.. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
- JANGAN menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.
- JANGAN ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang Kita bersalah.
- JANGAN mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan Kita hilang bahagia.
- JANGAN lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja Kita. Nanti Kita sombong apabila berjaya.Kalau gagal kecewa pula.
- JANGAN bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki Kita.
- JANGAN banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
- JANGAN biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada Kita.
- JANGAN suka menganiaya manusia atau haiwan.. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.
- JANGAN terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
- JANGAN mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan Kita.

ALLAH lebih tahu. Wallahualam..