Wajib faham apa yang dibaca dalam solat
Ibadah solat itu ialah merupakan suatu kewajipan yang paling penting bagi seorang Muslim selepas beriman dan mengucapkan dua kalimah syahadah .
Firman Allah SWT : “Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat.” (An-Nur : 56)
Daripada Ibn Umar ra, Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : "Islam itu terbina di atas lima perkara, bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan dan rasul Allah ,Mendirikan Solat, Membayar zakat, Melaksanakan ibadah haji dan berpuasa dibulan Ramadhan.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasaie dan Tirmidzi ra pula, ada menyebutkan bahawa amalan yang pertama sekali akan dihisab di hari akhirat ialah amalan solat.
Sebenarnya banyak lagi hadis lain yang menceritakan tentang kepentingan dan kewajipan solat sebagai rukun Islam yang kedua selepas syahadah. Imam Ibnu Qayyim ra menyebutkan bahawa telah disepakati dikalangan ulama Islam bahawa meninggalkan solat dengan sengaja adalah merupakan dosa yang paling besar. Ianya bahkan lebih teruk daripada membunuh, mencuri dan berzina atau meminum arak. Orang yang meninggalkan solat akan mendapat kemurkaan Allah dan hukuman yang pedih serta kehinaan di dunia dan di akhirat. (Lihat Kitab As-Solah wa Hukmu Tarikuha )
Memandangkan kewajipan solat yang begitu besar dan penting dalam Islam maka adalah tidak wajar apabila ibadah tersebut tidak dilakukan dengan teliti dan cermat sebagaimana pentingnya perintah dan arahan daripada Allah SWT dan rasul-Nya supaya manusia mendirikan solat dengan khusyuk dan larangan agar tidak lalai serta leka sewaktu mendirikannya.
Firman Allah SWT :
“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang solat dalam keadaan lalai.” (Al-Maun : 4-5)
Di antara yang dimaksudkan dengan lalai dalam solat ialah mendirikannya tanpa memahami maksud dan bacaan di dalamnya sehingga tidaklah seseorang itu berdiri menunaikan solat melainkan sekadar membaca apa yang dihafal seperti burung kakak tua namun tidak memahami dan mengerti isinya apatah lagi merasa insaf dan sedar akan maksud dan perintah di dalam ucapannya !
Wajib memahami makna bacaan dalam solat
Perintah memahami maksud dan bacaan dalam solat merupakan sesuatu yang sudah jelas dan terang daripada Al-Quran dan As-sunnah. Ini diterangkan oleh Allah SWT di dalam banyak ayat antaranya :
Firman Allah SWT : “Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.” (Al-A’raaf: 204)
Menurut ulama tafsir antaranya Imam Ibn Katsir rahimahullah, bahawa ayat diatas bermaksud supaya orang yang mendengar bacaan Al-Quran itu segera berdiam diri dan tidak bercakap lalu menyemak bacaan tersebut dan memerhatikan maksud serta isinya. Kata Ibn Jarir pula, diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud ra bahawa para sahabat nabi salallahualaihiwassalam pernah bercakap di dalam solat dan memberi salam antara satu sama lain sehinggalah turunnya ayat diatas.
Ramai terkeliru dengan maksud Islam ialah agama yang memudahkan dan tidak menyusahkan dengan beranggapan bahawa cukuplah solat dengan membaca bacaan yang betul tanpa memahami maknanya daripada memahami maknanya tetapi membaca secara tidak betul.
Hal itu adalah salah !
Di dalam buku Fiqh Aulawiyat karya Dr. Yusof Al-Qaradhawi ada menyebutkan bahawa kefahaman itu adalah lebih utama daripada hafalan.
Di dalam Islam kefahaman itu lebih utama daripada hafalan bahkan lebih penting dari kepetahan atau kelancaran bacaan. Ini dibuktikan oleh hadis nabi salallahualaihiwassalam daripada Rafa’ah bin Rafi’ ra bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Barangsiapa yang padanya ada Al-Quran maka bacalah dan jika tidak, maka (baginya) adalah Alhamdulillah, Allahuakbar dan Laailahaillallah, kemudian ruku’lah.” (hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Nabi salallahualaihiwassalam tidak membebankan pun para sahabat baginda yang merupakan orang arab itu untuk tergesa-gesa menghafal surah yang panjang-panjang sebaliknya menyarankan apabila mereka tidak menghafal al-quran maka hendaklah membaca zikir-zikir yang disebutkan lalu rukuklah. Apa yang penting ialah memahami maksud bacaan di dalam solat itu dan bukannya menghafal surah yang panjang-panjang seperti al-insan, as-sajdah untuk dibaca pada hari Jumaat tetapi jahil akan maknanya !
Ini kerana ada sahabat nabi sendiri yang tidak mampu menghafal bacaan di dalam solat sedangkan mereka adalah bangsa arab,mampu memahami maksud dan bacaannya namun tidak menghafalnya lalu baginda tidak membebankan ke atas mereka yang tidak mampu dan menyuruh mereka supaya mendirikan solat dengan membaca zikir-zikir seperti tasbih, takbir dan tahlil !
Daripada Abdullah bin Abi Aufa, beliau berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi Salallahualaihiwassalam, lalu berkata: Aku tidak dapat menguasai bacaan Al-Qur’an sama sekali, oleh kerana itu ajarlah aku bacaan yang kiranya mencukupi untuk solatku. Maka bersabdalah Nabi salallahualaihiwassalam : “Bacalah “ سبحان اللَّه والحمد للَّه ولا إله إلا اللَّه واللَّه أكبر ولا حول ولا قوة إلا باللَّه “ (Maha Suci Allah, dan segala puji bagi Allah, tiada Tuhan kecuali Allah, dan Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie)
Lalu alangkah pelik bagi orang Melayu yang tidak memahami maknanya, tidak mengetahui isi bacaan yang dibaca di dalam solat tetapi begitu membebankan cara sebutan dan hafalan-hafalan seperti doa qunut yang panjang namun jahil dan tidak memahami akan isi kandungannya !
Syeikh Abd Aziz bin Baz rahimahullah di dalam salah satu fatwanya pernah ditanya berkenaan hukum solat sambil memegang dan membaca dari mushaf yang mempunyai tafsir di dalam solat qiamullai agar dapat memahami maksud dan bacaan di dalam solat tersebut dan beliau berfatwa sebagai harus kerana mengambil manfaat daripada perintah tadabbur dan suruhan supaya memahami isi makna bacaan dalam al-Quran. (Rujukan dari Islamqa.com)
Akhirnya kita boleh melihat di dalam Surah An-Nisa berkenaan larangan solat di dalam keadaan mabuk berkenaan perintah Allah supaya menangguhkan solat seseorang sehingga dia menyedari apa yang diucapkannya di dalam bacaan solat tersebut. Hal ini menjadi bukti yang paling jelas bahawa kewajipan solat itu haruslah didirikan dengan memahami makna bacaan dan mengerti tentang apa yang diucapkannya agar solatnya itu dapat diterima oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu dapat mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu sahaja, sehingga kamu mandi.” (An-Nisa : 43)
Kalimah “sehingga kamu mengerti atau mengetahui apa yang kamu ucapkan” ialah isyarat jelas bahawa perintah memahami maksud bacaan dalam solat ialah suatu kewajipan yang perlu diusahakan oleh setiap muslim yang mengaku beriman supaya dapat mendirikan solat dalam keadaan memahami makna bacaan.
Imam Ahmad rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis daripada Anas bin Malik ra yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwassalam : “Jika salah seorang daripada kamu mengantuk dalam solat maka hendaklah dia berundur (daripada solat) dan kembali tidur sehinggalah dia (dapat solat) dalam keadaan mengetahui apa yang dibacanya.” (hadis riwayat Ahmad dan terdapat riwayat yang serupa dari jalan Aisyah ra yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam sahihnya)
Maka tidak ada alasan bagi orang yang beriman dan muslim yang telah menjadi Islam sejak puluhan tahun untuk tidak berusaha memahami dan mempelajari bahasa arab dan makna-makna di dalam solat serta tafsir Al-Quran sedangkan dalam waktu yang sama mereka mampu mempelajari pelbagai jenis bahasa asing dan membaca serta menulis dan bahkan bertutur di dalam bahasa tersebut.
Adalah merupakan suatu tanda yang jelas dari sifat kemunafikan yang terdapat di dalam umat Islam apabila mereka tidak mahu bersusah payah demi agama tetapi sanggup berusaha gigih dan bekerja keras demi dunia dan kesenangannya.
Firman Allah SWT : “Katakanlah: "Tuhanku menyuruh supaya menjalankan keadilan." Dan (katakanlah): "Luruskanlah muka (diri)mu di setiap solat dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepadaNya)." (Al-Araaf : 29)
sumber : http://ustaz.blogspot.com/2011/12/kewajipan-memahami-makna-bacaan-dalam.html
download makna bacaan dalam solat per kata : http://www.mediafire.com/?tmw2zw9rm572zd8
No comments:
Post a Comment