Tuesday, October 26, 2010

Indahnya Wanita Bertudung {Hakikat Tudung}

 بسم الله الرحمن الرحيم


Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa, seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun, perkembangan tingkah-lakunya benar-benar membimbangkan ibu.
Moga kisah yang dipaparkan oleh seorang saudara dari Indonesia ini, dapat dijadikan iktibar khususnya buat kaum hawa.
Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru Al-Quran. Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas, ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka. Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,

“Cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama saja macam orang yang tidak pakai tudung. Sampai kawan-kawan Ani di sekolah yang pakai tudung pun selalu keluar temu-janji dengan teman lelaki mereka dan pegang-pegang tangan. Ani ini, walaupun tidak pakai tudung, tidak pernah buat macam itu!”

Ibu hanya mampu mengelus mendengar kata-kata adik. Kadang-kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam. Dalam qiamullailnya. Terdengar lirik doanya,

“Ya Allah, kenalkan Annisa dengan hukum-Mu”


Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami. Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil. Suaminya bernama Abu Khoiri (nama sebenarnya siapa, tidak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid.
Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli.
Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya,

“Abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?”

Lalu saya menjawab sambil lewa,

“Kalau nak tahu sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri”


Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri.
Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik. Wajahnya yang tidak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang sudah berlaku?
Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh, lengan panjang pula tu. Saya sendiri jadi bingung. Bingung campur syukur kepada Allah Ta’ala kerana saya melihat perubahan yang ajaib. Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus-peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah. Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan) dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri. Tidak ketinggalan tahajudnya, baca Al-Qurannya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangannya.

“Segala puji bagi Engkau wahai Allah”

Jerit hati saya.

Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di Kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak CALTEX. Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah ( rumah saya di Madiun). Dalam perjalanan, saya tidak henti-henti berdoa kepada Allah Ta’ala agar adik diberi kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan. Ketika saya sampai di rumah, di depan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tidak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah. Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya. Dalam esak tangisnya ibu memberitahu,

“Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya”


Air mata ini tidak dapat ditahan lagi. Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari. Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini. Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu Khoiri. Di situ tertera soal-jawab antara adik dan isteri jiran kami itu.

Butirannya seperti ini:

Soal-jawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata),

Annisa: Aku hairan, wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari,
“Mak Cik,  wajah Mak Cik sangat muda dan cantik”


Isteri jiranku: “Alhamdulillah, sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati”


Annisa: “Tapi Mak Cik kan sudah ada anak enam, tapi masih kelihatan cantik”


Isteri jiranku: “Subhanallah, sesungguhnya keindahan itu milik Allah Ta’ala dan bila Allah Ta’ala berkehendak, siapakah yang boleh menolaknya?”


Annisa: “Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tidak ada masalah kalau saya tidak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tidak pakai. Sampaikan saya tidak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat Mak Cik bagaimana?”


Isteri jiranku: “Annisa, sesungguhnya Allah Ta’ala menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Ta’ala nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita”


Annisa: “Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tidak elok”

Isteri jiranku: “Tudung hanyalah kain, tapi hakikat atau makna di sebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami”

Annisa: “Apakah hakikat tudung?”


Isteri jiranku: “Hakikat tudung adalah perlindungan zahir dan batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia, sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah Ta’ala, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat, lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah Ta’ala. Bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung”


Annisa: “Mak Cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah- mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya mahu buat semua itu?”


Isteri jiranku: “Duhai Nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah Ta’ala yang Maha Pemberi Rahmat, bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan ‘tudung’ hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah Ta’ala. Duhai Nisa, ingatlah akan satu hari dimana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua, pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap-gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing-masing hanya mempedulikan nasib dirinya dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak dan bermacam-macam rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk seperti syaitan. Semuanya menangis, menangis kerana hari itu Allah Ta’ala murka. Belum pernah Allah Ta’ala murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah Ta’ala di Padang Mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab. Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita ditanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat, Yang Maha Agung, Allah Ta’ala”


Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan air mata yang jatuh dari pelupuk matanya. Subhanallah. Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil di bawah tulisan itu,

“Buta, tuli dan bisu wanita itu ialah wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya, wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah Ta’ala dan wanita yang tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia-sia”


Tidak tahan air mata ini pun jatuh. Semoga Allah Ta’ala menerima adikku disisinya. Amiin.

No comments:

Post a Comment