Ini adalah satu cerpen yang berbentuk surat . Ianya adalah dari seorang sahabat saya yang sudi menghantarnya supaya menjadi pedoman buat semua .......................................
Assalamualaikum warahmatullah…
Puteriku, Sewaktu aku ingin menitipkan tintaku ini buatmu aku merenungimu dengan penuh kasih sayang. Waktu itu engkau baru berumur beberapa hari selepas engkau dilahirkan kedunia ini oleh ibu yang mengandungkan dirimu.
Aku bersyukur kerana aku dianugerahkan seorang
cahaya mata bernama wanita yang bakal mewarisi sifat
kelembutan ibumu sebagai wanita solehah. Namun perlu
engkau ingati akan kelembutanmu itu, bukanlah
diskriminasi Tuhan terhadapmu. Aku berpesan buatmu
tentang keadilan Tuhanmu. Betapa agungnya Dia
menciptakan dirimu sebagai insan yang bernama wanita
supaya kau sanjungi anugerahNya buatmu.
Keagungan Tuhanmu mengatasi segalanya. Oleh itu
patuhilah segala perintahNya lantaran kau terpilih
dijadikan cuma sebagai hamba dan jauhilah laranganNya
untuk menunjukkan kasihmu terhadapNya. Perhatikan
segala amanahNya buatmu kerana amanahNya perlu kau
dahulukan daripada amanah makhluk-makhlukNya.
Selamatlah dirimu tika mana kau memilih jalan Taqwa
dan meninggalkan perangkap maksiat dan kehinaan.
Puteriku! berimanlah dikau dengan Allah yang Maha
Agung. Yakinilah pada ajaran dan sunnah Rasulullah
saw. Berpeganglah pada dustur yang mengajarmu tentang
tarekat hidupmu lantas katauhidanmu akan mengikat
Taqwa dan imanmu terhadap penciptamu. Yakinilah bahawa
setiap perkhabaran para Rasul itu benar sekalipun
berita yang di bawa itu bukan cuma berita gembira.
Puteriku,
Hari ini aku akan menamakan dirimu. Aku memilih nama
seorang wanita yang aku kagumi dari kalangan
wanita-wanita lain yang juga turut menjadi idola.
Namun hatiku cuma muyul untuk menamakan dikau dengan
nama ini. Janganlah sesekali engkau merasa jengkel dan
kekurangan dengan namamu ini. Paling tidak merasa
cemburu dengan nama-nama temanmu yang lain barangkali
jauh lebih up to date. Percayalah bahawa namamu ini
sudah memadai untuk kau merasa rendah diri terhadap
Tuhanmu dan bertanggung jawab untuk menaladani
peribadi yang pernah bernama seperti itu. Ingatlah kau
bakal menjadi serikandi sepertinya suatu masa nanti.
Aku berpesan kepadamu tentang ilmu. Ilmu itu
mengangkat darjat manusia. Ilmu jugalah yang mencipta
peradaban ciptaan manusia yang hakikatnya adalah
ketentuan Ilahi. Ilmu jugalah yang memisahkan
kekufuran bila hidayah dicampakkan ke kalbu seseorang
insan. Oleh itu usahlah engkau pencilkan dirimu dari
ilmu kerana engkau bakal bergelar seorang ibu yang
akan mendidik anak-anakmu nanti. Ilmu duniawi dan ilmu
ukhrawi. Kedua-duanya muhim bagimu, namun ilmu ukhrawi
lebih aham. Justeru aku menyekolahkanmu di sekolah
aliran agama supaya cita-citaku itu menjadi pasti.
Sewaktu kecilmu engkau diasuh ibumu. Engkau
dibelaimanja. Ketika salahmu engkau diteguri supaya
engkauberhati-hati di lain kali. Ketika betulmu aku
dalam diam mensyukuri kepintaran yang dikurniakanNya
buatmu. Patuhilah perintah kedua ibu bapamu selagimana
ianyatidak berelisih dengan ajaran Islam. Usahlah
engkau bersedih tika engkau gagal sekali. Sebaliknya
berusahalah dengan lebih gigih kerana engkau masih
mempunyai peluang untuk kali kedua. Janganlah engkau
pencilkan kesedihan dengan esak tangismu yang
menyayukan hati. Janganlah engkau salahkan Tuhanmu
tika lara dan duka mengunjungi laman hidupmu.
Sedarilah itulah ujian TuhanMu untuk menilai kesabaran
dan ketaqwaanmu terhadapNya.
Puteriku,
Apabila usiamu mencecah sembilan tahun engkau akan
bertukar status dari seorang kanak-kanak perempuan
menjadi wanita. Ya… wanita yang punyai tanggung jawab
terhadap agama, diri, keluarga, bangsa dan negara.
Engkau bakal mengalami peristiwa ganjil. Janganlah
engkau takuti akan peristiwa itu lantaran ia adalah
perkara ghalib untuk kaum hawa. Engkau akan mengalami
haidh. Ia adalah darah yang keluar dari kemaluanmu
ketika engkau dalam keadaan sihat. Engkau perlu tahu
hukum-hakam mengenainya. Apa yang perlu engkau lakukan
dan apa yang ditegahi agama terhadapmu. Janganlah
engkau merasa hina dengan ia kerana ia adalah suatu
urusan yang ditentukan Allah kepada wanita-wanita
berketurunan Adam.
Selepas kajadian ganjil itu engkau punya tanggung
jawab besar. Engkau perlu lunaskan tanggung jawabmu
terhadap agamamu. Jangan engkau abaikan tanggung
jawabmu terhadap kesucian dirimu. Apabila sudah
berhenti haidhmu maka bersegeralah engkau menyucikan
dirimu dan kerjakanlah semula amal ibadatmu. Sesudah
itu engkau akan berkali-kali mengalami peristiwa tadi
sehingga engkau mengerti hikmah ketentuan Ilahi
terhadapmu. Usahlah engkau merasa pelik jika aku
tuturkan untukmu bahawa ada wanita yang tidak pernah
mengalami haidh dalam hidupnya. Dialah puteri
kesayangan Baginda Rasulullah (Fatimah al-zahra' r.a).
Ada wanita yang cuma datang haidhnya sekali seumur
hidup. Ada yang setahun sekali. Ada yang jarang-jarang
sekali dan normalnya ia datang setiap bulan. Maka
hitunglah. Paling kurang haidh itu adalah sehari
semalam dan paling lama tempohnya adalah 15 hari
berserta malamnya. Tentu engkau merasa pelik mengapa
aku menulis warkah ini seperti ini bukan? Aku ingin
mengajarmu tentang hidupmu. Tidaklah seorang wanita
yang haidh itu, kecuali haidhnya merupakan kifarat
(tebusan) untuk dosa-dosanya yang telah lalu, dan
apabila pada hari pertama haidhnya membaca
"Alhamdulillahi'alaa Kulli Halin Wa Astaghfirullah;
Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan dan aku
mohon ampun kepada Allah dari segala dosa." ; maka
Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan
mudah melalui siratul mustaqim yang aman dari seksa,
bahkan Allah Ta'ala mengangkatnya ke atas darjat,
seperti darjatnya 40 orang mati syahid, apabila dia
selalu berzikir kepada Allah selama haidhnya. Justeru
janganlah engkau segan silu bertanya tentang usuran
agamamu pada hal yang tidak engkau ketahui atau engkau
ragui kesahihannya kepada orang-orang yang lebih
mengetahui. Janganlah engkau tanyakan pada orang yang
jahil kerana kelak fatwanya menyesatkan dirimu.
Selepas tempoh ini engkau akan membesar menjadi
seorang wanita. Tubuh badanmu akan mengalami perubahan
sedikit demi sedikit sehingga engkau bakal dikagumi
oleh lelaki. Wajib tika ini engkau menutup auratmu
terhadap pandangan lelaki ajnabi. Engkau tidak betah
lagi untuk menayangkan tubuhmu lantaran ia adalah
fitnah yang merosakkan. Waktu ini juga citarasamu akan
berubah. Perasaanmu untuk mendekati dan berkawan
dengan kaum lelaki melonjak-lonjak. Engkau akan girang
bila engkau punyai teman berlainan jantina. Itulah
yang dinamakan ikhtilat. Biasanya ia berlaku ketika
usia peralihanmu sewaktu engkau menduduki tangga
menengah alias usia remaja. Umur sementahmu itu pada
hematku tidak wajar engkau berbuat begitu melainkan
untuk urusan-urusan yang dibenarkan syariat. Ikutilah
jejak ibumu. Dialah modus operandi terhampir buatmu.
Seingatku dia tidak pernah menjalin hubungan alias
berpacaran dengan lelaki ajnabi selainku… itupun
selepas kami diikat dengan pertunangan. Namun masih
mera'ikan tuntutan syara'.
Puteriku,
Engkau adalah anak pasca alaf kemodenan. Paling tidak
engkau adalah generasi akhir zaman. Oleh itu janganlah
engkau sia-siakan zaman mudamu dengan hiburan dunia
yang melekakan. Penuhilah dadamu dengan ilmu. Tidak
rugi engkau menjadi seorang yang berilmu seperti
beberapa tokoh serikandi Islam yang pernah melakarkan
sumbangan mereka terhadap Tamadun Islam.
Lihat saja Saidatina 'Aisyah r.a yang terdidik oleh
Madrasah Rasul. Dia betah menjawab persoalan-persoalan
yang diajukan lantaran kefaqihannya yang terbukti.
Mengimbaskan nosstlgia Saidatina Khadijah r.a pasti
kita terpana akan perngorbanannya yang sukar untuk
ditandingi. Pun begitu menyorot kezuhudan dan agung
kasih serta cintanya terhadap Ilahi tentu sahaja
engkau pernah mendengar akan nama Rabiatul Adawiyah.
Kesemua mereka itu adalah wanita. Beruntunglah engkau
duhai puteriku jika engkau menyusuli jejak mereka.
Aku sengaja menampilkan peribadi-peribadi tadi bukan
untuk menghasut cemburumu, malah aku mahukan engkau
menaladeni jejak mereka. Tidak salah untukmu terjun ke
medan jihad kerana ikhlasmu untuk menegakkan agama
Allah. Aku tidak mengajar engkau untuk takut akan mati
syahid. Pernahkah engkau mendengar kalam seorang
mujahid tentang perjuangan?
Telah berkata As-Syeikh Abdul Qadir Audah: "Jika aku
dipenjarakan kerana perjuangan suci ini, aku boleh
beruzlah. Jika aku dibuang daerah, aku boleh melancong
percuma dan jika aku dibunuh kerana perjuangan yang
benar ini maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai
seorang syuhada'."
Berbicara soal perjuangan merupakan suatu
realitikerana hidup ini adalah sebuah perjuangan.
Perjuanganmembebaskan diri dari cengkaman kekufuran
terhadap Ilahi. Perjuangan menundukkan hawa nafsu yang
sering meronta di dalam diri. Perjungan di titian
kesabaran mengerjakan perintah dan meninggalkan
larangan Tuhan. Perjuangan mendidik diri menjadi
seorang hamba dan perjuangan untuk merintis serta
mengembalikan kedaulatan Daulah Islamiah yang telah
lama hilang. Ya… itulah tugas utama kita. Itulah
amanah yang perlu kita lunaskan semenjak kejatuhan
Khilafah Islamiah Turkey Uthmaniah pada tahun 1924M.
Maka sehinggalah perjuangan murni itu mencapai
noktahnya yang entah bila janganlah engkau
menyimpangkan diri dan hatimu
dari terus bersama dalam ribat Jamaah Islam.
Puteriku,
Sampai masanya nanti engkau bakal menjadi seorang
isteri dan seterusnya bergelar seorang ibu. Usahlah
engkau ragui akan jodohmu kerana lelaki soleh itu
adalah untuk wanita solehah. Dari itu jika engkau
mengidamkan bakal suamimu sehebat Saidina Ali k.w
jadikanlah dirimu laksana semulia Fatimah al-Zahra'.
Aku nukilkan kata-kata Asma' binti Kharizah Fazari
r.a. diriwayatkan bahawa ia telah berkata kepada
puterinya pada hari perkahwinan anaknya, "Wahai
anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana
engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah
rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah
suami mu.Jadilah engkau tanah bagi suamimu (dengan
mentaat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi
mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai
supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau
bebaninya dengan berbagai kesukaran kerana itu akan
memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia
mendekatimu,dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka
jauhilah ia dengan baik.Peliharalah benar-benar
suamimu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya
dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan
yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang
indah sahaja daripada dirimu.
Kehidupan berumah tangga adalah amanah sebenarnya.
Bukan sekadar pengkongsian kebahagiaan semata-mata
malah berkongsi segalanya sehinggalah manusia
menyedari tanggung jawab masing-masing sebagai suami
isteri. Taatilah suamimu dalam taqwamu terhadap Allah.
Janganlah sesekali engkau menderhakai suamimu.
Ingatlah wahai puteriku sesungguhnya Baginda Rasul saw
pernah bersabda: "Aku lihat api neraka, tidak pernah
aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan
yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan
kebanyakkan ahli neraka ialah wanita." Rasulullah
s.a.w. ditanyai, "Mengapa demikian wahai Rasulullah?"
Jawab Rasulullah s.a.w. "Wanita mengkufurkan suaminya
dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik
kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa
berpuas hati dan cukup." Usahlah engkau merasa pilu
dengan perkhabaran-perkhabaran tadi. Persiaplah dirimu
kerana walaupun kebanyakan penghuni neraka adalah dari
kalangan wanita lantaran mereka dari golongan
wanita-wanita yang jahat. Namun masih ada ruang untuk
wanita mendapat syurga. Jadilah wanita yang baik.
Jadilah wanita yang mentaati perintah Tuhan dan
suaminya. Jadilah wanita yang menjadi ibu yang baik.
Puteriku,
Puisi ini untukmu…
Kaulah mawar idaman
Tumbuhmu di taman larangan
Mekarmu dipagari dan dibajai
Sesucinya hatimu seindah akhlakmu
Diciptakan sebagai seorang wanita
Mewarisi kelembutan wanita solehah
Kembangmu tetap indah
Walau cuma di taman larangan
Menyinarkan nur keimanan
Nan mekar dihiasi mahmudah
Berkat asuhan ayah bonda
Kaulah serikandi ummah
Akhlakmu permata diri
Peliharalah maruah dan budi
Nescaya kaulah yang bernama
Wanita Sejati
Kebanggaan ayah bonda…
Puteriku,
Barangkali engkau sudah bosan membaca warkahku ini.
Aku tidak pasti bilakah masanya engkau bakal membaca
warkahku ini. Kalau engkau membacanya tika aku masih
di sampingmu maka anggaplah ini pesanku buatmu wahai
puteriku. Jika engkau membacanya tika aku sudah
disemadikan itulah wasiatku buatmu.
Untuk mengakhiri warkahku ini aku juga ingin berpesan
sebagaimana Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya…
Telah berpesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya,
"Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari
pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-
"Apabila engkau sedang solat kepada Allah s.w.t. maka
jagalah baik-baik fikiranmu.
Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka
jagailah pandanganmu.
Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka
jagalah lidahmu.
Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah
perangai dan adabmu.
Ingatilah kepada Allah s.w.t.
Lupakan budi baikmu terhadap orang lain.
Lupakanlah semua kesalahan orang lain terhadapmu.
Sentiasalah mengingati mati."
Ayahandamu.
Fatimah Al-Zahra' melipat semula warkah itu untuk
kesekian kalinya. Itulah wasiat ayahnya. Ayahnya gugur
syahid sebelum sempat melihat dia mencapai impian yang
dilakarkan dalam warkah bisu itu. Kini Fatimah
Al-Zahra' adalah penuntut tahun akhir jurusan Syariah
Islamiah di Universiti Al-Azhar cawangan Iskandariah,
Mesir. Dia mencapai semula kitab Qawaid Feqh sebagai
isti'datnya untuk menghadapi imtihan dan terpenting
untuk mencapai impian seorang ayah.
No comments:
Post a Comment