Tuesday, April 12, 2011

Saya Buang Anak, Anak Buang Saya

Bismillah...

Mak dan ayah, kenapa mak dan ayah marah saya? Kenapa marah sangat bila saya mengandung? Inikan cucu mak dan ayah juga... Cuma bezanya dia anak luar nikah.

Kenapa mak dan ayah buang saya sekarang hanya kerana saya mengandung anak luar nikah? Kenapa mak dan ayah tak buang saya semasa saya baru lahir? Tidaklah nanti saya menconteng arang ke muka mak dan ayah.

Kenapa mak dan ayah bertanya KENAPA saya jadi begini? Bukankah dahulu mak dan ayah yang memberi kebebasan kepada saya.. Saya jadi begini kerana nikmat kebebasan yang mak dan ayah berikan.

Bukankah dahulu mak dan ayah tidak pernah melarang saya berkawan dengan teman lelaki saya? Mak dan ayah merestui hubungan kami bukan? Hinggakan ke mana saja kami pergi mak dan ayah tak kisah kerana percaya dia boleh menjaga saya, asalkan tidak pulang lewat malam. Tahukah mak dan ayah tempoh yang mak dan ayah berikan itu sudah cukup untuk kami berzina?




Kenapa mak dan ayah terlalu mempercayai saya hanya kerana saya bertudung dan belajar agama? Apakah mak dan ayah percaya saya akan mengikuti jejak langkah mak dan ayah yang taat pada agama itu hanya kerana saya seorang pelajar yang mengambil kos Al-Quran dan Sunnah? Lupakah mak dan ayah pada bait-bait lagu Raihan "Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa"..?

Kenapa mak dan ayah membenci teman lelaki saya sekarang sedangkan dahulu dialah yang menjadi kesayangan mak dan ayah. Dialah yang diharap-harapkan dapat menjaga saya sepanjang saya berada di luar pemerhatian mak dan ayah.

Kenapa mak dan ayah baru hendak mengetahui perkembangan saya padahal dahulu mak dan ayah jarang sekali bertanya khabar saya. Soalan yang mak dan ayah ajukan cuma, "cukupkah duit belanja kamu?".

Kenapa baru sekarang mak dan ayah menyuruh saya memakai tudung dan menutup aurat sedangkan dahulu mak dan ayah tak kisah pun bila saya mewarnakan rambut saya. Jawapannya, "biasalah budak2 remaja memang suka bergaya." Tidakkah mak dan ayah sedar bahawa teman lelaki saya amat terangsang melihat mahkota dan liuk lentuk tubuh saya yang berbalut seluar jeans sendat dan baju baby T yang mak dan ayah belikan?

Kenapa baru sekarang mak dan ayah menyuruh saya bertaubat? Kenapa baru sekarang mak dan ayah marah serta menuduh saya tidak tahu malu kerana berzina? Bukankah mak dan ayah sendiri lalai dalam menunaikan solat dan hal itu saya kira mak dan ayah sendiri tidak malu kepada Tuhan. Salahkah saya mengikuti jejak langkah mak dan ayah?

Kenapa mak dan ayah sibuk mentarbiyah masyarakat agar kembali kepada Allah sedangkan anak2 mak dan ayah dirumah ini pun jarang2 solat berjemaah di rumah bersama-sama lantaran kesibukan mak dan ayah berdakwah di luar sana..

Kenapa mak dan ayah mahu menyekat kebebasan saya? Kenapa baru sekarang mak dan ayah mahu merampas telefon bimbit saya sedangkan telefon itulah yang mak dan ayah berikan sebagai ganjaran kerana saya cemerlang dalam pelajaran. Tahukah mak dan ayah dengan telefon itu saya menghubungi teman lelaki saya siang dan malam, berjanji setia dengannya, merancang tarikh dan masa untuk keluar bersama, dan dengan telefon itulah saya menghantar MMS gambar2 saya untuk tatapan teman lelaki yng saya cintai.

Kenapa mak dan ayah tidak dapat menerima kandungan saya? Patutkah saya menggugurkan saja anak yang tidak berdosa ini atau membuangnya apabila lahir kelak? Saya buntu...




Sekarang saya bakal menjadi ibu kepada anak teman lelaki saya. Bagaimana saya harus menghadapinya? Sudah tentu mak dan ayah tidak mahu menerima saya mahupun bayi ini... Saya sudah ambil keputusan, saya tidak mampu untuk membayar kos menggugurkan kandungan ini tapi apabila dia lahir kelak saya akan membuangnya sebagai mana mak dan ayah membuang saya kerana saya berzina.

Saya tidak mahu nanti apabila bayi ini dewasa kelak, dia pula yang membuang saya...

Kenapa mak dan ayah menangis...???

Kerana saya bukanlah anak yang baik...tapi tidak sedikit pun saya berharap untuk menjadi duri dalam kehidupan mak dan ayah bahkan sekalipun saya tidak pernah minta untuk dilahirkan ke dunia ini... Saya tidak tahu apa2 ketika keluar dari rahim mak. Saya cuma salah seorang bayi yang comel diantara berjuta-juta bayi yang ada. Saya membesar mengikut acuan yang mak dan ayah cipta untuk saya... Besar sangatkah kesalahan saya?


Maafkan saya mak dan ayah...
Maafkan ibu,anakku...

No comments:

Post a Comment